Susu ibu tidak akan kering (Petikan drpd Kosmo 20/08/2010)
 Oleh NURUL IZZA ROSLY
izza.rosly@kosmo.com.my
 
 
  UMUM mengetahui mengenai kebaikan susu ibu yang mengandungi antibodi  melindungi bayi daripada serangan penyakit. Jika beberapa tahun lalu,  menyusu badan tidak dilihat sebagai trend, kini kian ramai para ibu  cenderung mempraktikkannya demi kelestarian kesihatan si kecil.
 Tidak timbul lagi soal malu atau segan menyusukan anak di khalayak ramai, walaupun ada mata-mata nakal mencuri pandang. 
 Namun, bagi ibu yang menyusukan bayi buat pertama kali kedatangan  bulan Ramadan menimbulkan sedikit kegusaran kerana khuatir pengeluaran  susu berkurangan malah, mungkin tiada susu yang dapat dikeluarkan kerana  menjalani ibadah puasa.
 "Memang ada segelintir ibu yang berasa bimbang jika tidak dapat menghasilkan susu badan sebanyak seperti hari-hari biasa.
 "Tetapi sebenarnya, para ibu tidak perlu gusar kerana penghasilan  susu akan tetap sama jika aktiviti pengurusan penyusuan ibu itu  dijalankan seperti normal dan ia menjadi amalan berterusan," kata Zatul  Hijanah Ramzi.
 Elak tertekan
 Menurut Zatul Hijanah yang merupakan Kaunselor Laktasi Malaysian  Breastfeeding Peer Counselor (MBfPC), tanggapan sesetengah ibu mengenai  susu badan akan kering ketika berpuasa adalah tidak benar. 
 "Walaupun kita tidak makan dan minum pada siang hari, ia tidak  bermakna ibu tidak dapat menghasilkan susu yang mencukupi untuk  keperluan bayi," ujarnya.
 Terang beliau, ini kerana ibu masih lagi mengambil makanan dan  minuman pada waktu malam iaitu selepas berbuka dan sehingga waktu Imsak.
 Bagaimanapun, tegas Zatul Hijanah, seseorang ibu tidak seharusnya  mengelakkan atau mengambil mudah amalan bersahur kerana ia adalah  bekalan tenaga dan air untuk tubuh ibu sepanjang hari.
 "Seseorang ibu seharusnya meminum air yang mencukupi selepas berbuka  sehingga waktu Imsak. Sekiranya tidak bersahur dan kekurangan air, tubuh  ibu akan mengalami dehidrasi yang boleh menjadi penyebab kepada  kurangnya penghasilan susu," jelas beliau.
 Bagaimanapun katanya, wanita tidak seharusnya terlalu memikirkan  mengenai ibadah puasa yang akan menyebabkan mereka kekeringan susu  kerana kebimbangan melampau sehingga menyebabkan stres yang sebenarnya  boleh mendorong kepada kemerosotan kuantiti susu badan.
 
 
  Jelas beliau penghasilan susu boleh merosot bukan disebabkan ibadah  berpuasa, sebaliknya kerana stres yang dialami oleh ibu sehingga  menghalang refleks ejeksi susu atau let down. Oleh itu, ibu perlu bertenang dan menjalani rutin harian seperti biasa.
 Jangan putus asa
 Malangnya bagi ibu yang beranggapan susu akan berkurangan sewaktu  berpuasa, akan mula ragu-ragu dengan kebolehan mereka untuk terus  membekal dan menghasilkan kuantiti susu yang banyak. 
 Disebabkan tanggapan itu, ada ibu yang mula berputus asa apabila  melihat kuantiti susu agak berkurangan pada hari pertama berpuasa  sehingga menyebabkan mereka mula mengurangkan aktiviti mengepam susu  badan. Malah, ada ibu yang berhenti terus daripada berbuat demikian.  Jika anda mengambil tindakan seperti itu, maka penghasilan susu akan  semakin berkurangan kerana kurangnya permintaan. 
 "Badan kita ini unik kerana dalam proses penyusuan sebenarnya faktor dan konsep 'permintaan dan penawaran' adalah amat penting. 
 "Semasa proses penyusuan, hormon-hormon seperti prolaktin dan  oksitosin akan terlibat. Prolaktin adalah hormon yang menghasilkan susu  dan oksitosin pula merupakan hormon yang merembeskan keluar susu ibu.  Namun begitu, terdapat satu lagi faktor yang berkait rapat dengan konsep  permintaan dan penawaran tadi. Hormon yang dimaksudkan ialah Feedback Inhibitor Of Lactation (FIL) yang juga merupakan sejenis protein yang terdapat dalam susu yang berkumpul dalam payu dara ibu," jelasnya.
 FIL memberi tindak balas secara negatif kepada proses penghasilan  susu. Apa yang dimaksudkan dengan tindak balas negatif tersebut? 
 FIL akan mula berkumpul dalam payu dara apabila kurangnya rangsangan  dan payu dara tidak dikosongkan dengan betul (hanya sedikit susu yang  dikeluarkan daripada payu dara). Tidak kiralah sama ada kekurangan  rangsangan itu daripada kurangnya hisapan oleh bayi atau pun kurangnya  aktiviti mengepam keluar susu sewaktu bayi tidak bersama ibu.
 Tahap FIL yang tinggi ini akan mula memberikan isyarat agar penghasilan susu perlu dikurangkan kerana kurangnya permintaan.
 "Ia akan menjadi sebaliknya pula jika payu dara sering dikosongkan.  Peratusan FIL dalam payu dara akan menjadi rendah dan seterusnya  menghantar isyarat supaya lebih banyak susu perlu dihasilkan oleh ibu.
 |  
 | 
| PARA ibu yang menyusukan bayi ketika bulan puasa perlu mengepam susu dengan lebih kerap berbanding bulan-bulan biasa.  
 | 
 "Oleh itu, susukan bayi dengan kerap dan bagi ibu yang bekerjaya atau  pun yang berjauhan dengan bayi pula, jangan lupa untuk mengepam susu  pada setiap dua jam atau tiga jam sekali," jelasnya.
 Terang beliau, kaum ibu juga tidak perlu bimbang mengenai zat dan nutrien dalam susu badan sepanjang bulan Ramadan.
 Berlatih sejak Syaaban
 Sementara itu, wanita yang bakal menimang cahaya mata kelima, Kartina  Md. Khalid, 37, memberitahu, pengalaman menyusukan bayi pada bulan  Ramadan adalah agak sukar dan mencabar kerana badan mudah menjadi letih.
 "Apa yang saya lakukan adalah mengambil makanan yang seimbang dan  mengatur program pemakanan sendiri. Apabila bekerja, saya akan mengepam  susu untuk anak saya.
 "Pada dua minggu terakhir Syaaban, saya melatih diri saya supaya  kurangkan makan tengah hari dan dalam masa yang sama mengambil lebih  banyak buah-buahan dan sayur-sayuran," katanya yang merupakan  penterjemah dan penyunting sambilan.
 Tambahnya, menyusukan anak lelaki lebih mencabar dan ibu memerlukan  lebih banyak tenaga. Untuk itu si ibu perlu makan nasi yang banyak  ketika bersahur manakala bagi anak perempuan pula, si ibu boleh  mengurangkan pengambilan nasi tetapi melebihkan pengambilan buah-buahan  dan sayur-sayuran.
 "Para ibu tidak perlu risau kerana susu badan sentiasa ada. Ibu perlu  mencari rentak badan sendiri. Pada awal Ramadan memang meletihkan  terutamanya pada tiga hari pertama berpuasa.
 "Kita akan lihat perbezaan kuantiti dan kualiti pada bulan puasa. Apa  yang perlu dilakukan adalah ubah corak pemakanan dengan minum lebih  banyak air dan pam susu dengan lebih kerap," ujarnya.
 Tegas Kartina, jangan sekali-kali berhenti menyusukan anak kerana jika permintaan susu kurang, pengeluaran akan turut merosot.